Suka Blog Nie Tak???

Monday 31 October 2011

Sayangilah Anak-Anak Yatim

Assalamualaikum...
Wahai Pencinta Islam...

"Kasihanilah orang miskin kerana Nabi Muhammad sayang kepada orang miskin. Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah SAW juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak yatim di akhirat." kata Imam Syafie.



Gambar yang amat menyentuh hati seorang anak yatim melukis gambar "mama"nya dan tidur bersama lukisan itu. Ya Allah sekiranya kita ternampak anak-anak yatim berikanlah mereka bukan hanya barangan material seperti makanan, tapi pelukkan & ciuman yang jarang mereka dapat tetapi amat diperlukan dan dirindui.... ='(

Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang memelihara seorang anak yatim dengan memberi makanan dan minuman dengan puas, maka Allah s.w.t memasukkan ia ke dalam syurga kecuali ia mengerjakan dosa yang tidak dapat diampuni.~Riwayat At-Tirmizi~

Rasulullah SAW juga turut bersabda: Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga. Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.~Hadis Sahih Muslim~

Kedua-dua hadis di atas jelas membuktikan sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan ganjaran syurga kepada umatnya yang memelihara dan memberi perlindungan kepada anak-anak yatim. Sebagai umat Islam, adalah satu kewajipan menitikberatkan hak penjagaan anak-anak yatim termasuk tempat tinggalnya. Sepatutnya mereka diberi layanan istimewa seperti yang disebut di dalam al-Quran dan hadis. Sekiranya mereka tidak diberi layanan yang sewajarnya, besar kemungkinan kita terdedah kepada kemurkaan Allah SWT kerana mengabaikan satu golongan yang hilang tempat bergantung.

Allah berfirman dalam surah al-Ma'un ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: 
Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menindas anak yatim, dan tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin. Mereka yang menzalimi anak yatim tidak akan mendapat hak kerana tidak melayani anak-anak yatim dengan baik.

 Seperti mana dalam surah al-Fajr ayat 17 hingga 18. Allah berfirman bermaksud: Sekali kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin.

 Jelas di dalam al-Quran bahawa golongan orang yang mendustakan agama ialah mereka yang tidak memberi layanan atau mengambil berat tentang anak-anak yatim dan bersikap lepas tangan. Marilah kita semua menyayangi dan berbuat baik kepada anak-anak yatim walaupun mereka mungkin bukan saudara-mara kita tapi mereka adalah tanggungjawab kita. Muhasabahlah diri kerana sekiranya kita menganggap kita tergolong dalam kalangan yang kurang bernasib baik, sebenarnya masih ada yang lebih-lebih lagi kurang bernasib baik daripada kita. 

---->>> Alhamdulillah saya masih mempunyai seorang ibu yang berjiwa kental membesarkan saya dan adik-beradik saya walaupun ada di antara kami masih kecil untuk menerima kehilangan ayah yang telah kembali ke Rahmatullah...

9 Golongan Orang Yang Bersolat

Assalamualaikum Dan Salam Ukhwah...=)

Meh kita checklist kita tergolong dalam golongan yang mana dan sekiranya masih kekurangan dalam solat kita. Marilah kita sama-sama muhasabahkan diri dan memperbaiki solat kita...


Golongan 1
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tidak sembahyang, bahkan ramai juga yang tidak tahu cara bersembahyang. Imam Malik berkata bahawa sesiapa yang tidak sembahyang akan digolongkan sebagai orang kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie pula berkata bahawa golongan yang tidak bersembahyang ini ialah fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu tetapi masih tidak bersembahyang.

Golongan 2
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara rasmi atau tak rasmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk, ada program kenduri, pesta ria, berziarah bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafasnya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi mereka sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai Sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa. Allah belum lagi cinta orang ini.

Golongan 7
Golongan yang mengerjakan sembahyang dan tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )

Golongan 9
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.

Ulasan:
Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim. Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Soalan pertama yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.


Share daripada Facebook.... Mudah-mudahan perkongsian ini dapat dijadikan ilmu tambahan untuk diri kita semua... InsyaAllah... =)

Makna Sebuah Persahabatan

Assalamualaikum
Buat teman-teman yang dikasihi Allah SWT


Yang bernama sahabat itu
Luhur maksudnya
Sentiasa bersama dalam suka dan duka
Menegur kesilapan
Memuji kebaikan
Menutup keaiban
Tatkala teralpa dialah yang mengingatkan
Tatkala terkurang dialah menambahkan
Tatkala terlebih dialah jadi pengagih
Beban berat sama dipikul
Beban ringan sama dijinjing
Sentiasa ada waktu diperlukan
Kerana tawa dan menangis
Sahabat itu sentiasa berpintal
Bertemu dan berpisah cuma
Hanya dengan redha Ilahi!
Moga makna ini terus kau terjemahkan
Buat renungan generasi di hadapan
Kerana jalur bahagia itu
Sudah ku siapkan jadi tugu bahagia erti
Sebuah persahabatan hakiki…=)


Hadis pilihan:
"Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri. (HR Bukhari)"

Sunday 30 October 2011

Mengapa Ditunggu Si Dia Yang Telah Pergi...

Assalamualaikum...

Gambar daripada Rusydee Artz

(¯`•.¸ Bercinta memang mudah, untuk dicintai juga memang mudah. Tapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai, itulah yang sukar diperolehi.

(¯`•.¸ Kadangkala kita selalu saja asyik dengan melayani perasaan saban hari. Seolah-olah itu saja yang diminda tanpa memikirkan hal yang lebih penting dari soal hati. Kita lemah dalam menghadapi hari mendatang dan berkejaran mencari cinta yang seolah difikirkan sudah hilang.

(¯`•.¸ Kita selalu terlupa bahawa cinta sesama manusia kadang-kadang boleh merosakkan jiwa kita, membuatkan kita tiada semangat akan diri sepatutnya kuat dan tabah dalam meniti perjalanan hidup ini. Mana perginya satu azam yang kuat dulu. Mana perginya janji kita yang mahu berjaya dalam hidup. Kehidupan kita bukan semata-mata untuk bercinta, berkasih sayang dengan orang yang kita suka dan mahu. Kadang-kadang kita harus tabah menerima suratan, orang yang kita dambakan bukan menjadi milik kita. Dan selalu saja kita merungut dan mengeluh mengenang nasib diri kerana apa yang kita mahu tidak diperolehi.

(¯`•.¸ Sedarkah kita bukan semua yang kita mahu dan inginkan akan menjadi milik kita kerana kita punya usaha untuk memilih dan memiliki. Namun, sejauhmana kita meratap rayu untuk mejadi milik kita dan bukan hak kita sampai bila-bila pun takkan dapat melainkan dengan izinNya.

(¯`•.¸ Dan jika telah ditakdirkan menjadi hak kita, sudah tentunya kita akan perolehi apa yang kita faham tentang takdir dan ketentuanNya. Siapalah kita untuk terus mengeluh dan menidakkan kebenaran yang telah ditentukanNya. Kita Cuma hamba Allah yang yang mana wajib mempercayai dan menerima rukun iman.

(¯`•.¸ Kadang-kadang kita selalu dengan khayalan diri kita dan masih mengharap cinta itu milik kita sedangkan suratan telah nyata dan masih lagi kita tidak dapat menerima kenyataan itu. Hakikatnya kita telah berpisah atau mungkin cinta itu telah pudar. Tapi, kerana kesombongan diri kita atau tidak dapat menerima kenyataan dan kita selalu saja menceriakan diri kita dengan pembohongan yang nyata. Menanti dan menunggu cinta yang tidak pasti.

(¯`•.¸ Itulah kita. Selalu tertewas dengan bisikan halus menyedapkan hati kita.membuatkan kita terus di dalam asyik yang panjang. Sedarlah dan kembalilah ke alam nyata. Cinta itu bukan milik kita lagi. Cukup sudah merindu dan meratapi perginya rasa itu yang kita rasakan cinta. Sebenarnya itu bukan lagi cinta sejati. Tidak melepaskan apa yang bukan lagi milik kita sedangkan masa yg berlalu tidak akan menunggu kita. Sesungguhnya kita dalam rugi yang nyata, membazirkan perasaan dan masa hanya kerana masih lagi tidak dapat menerima hakikat.


(¯`•.¸ Janganlah DITANGISI perpisahan dan kegagalan BERCINTA kerana hakikatnya JODOH itu bukan di tangan manusia. Atas kasih sayang Allah jua kita bertemu dengannya dan atas limpahan kasihNya jua kita dipisahkan bersama HIKMAH yang tersembunyi.

Semoga Doa Kita Dimakbulkan Oleh Allah SWT

Assalamualaikum...
Wahai Pencinta Islam...

Gambar daripada Rusydee Artz

Syarat dimakbulkan doa:

1. Yakin bahawa Allah SWT akan memakbulkan doa
Sabda Nabi SAW.,”Berdoalah kamu kepada Allah SWT dan kamu harus yakin akan dimakbulkannya.”~HR Tirmidzi~ 
Nabi juga bersabda,”Jika salah seorang dari kamu berdoa, maka janganlah ia mengatakan,”Ya Allah, berilah keampunan kepadaku jika Engkau menghendakinya.” Tapi hendaklah dia bersungguh-sungguh dengan permintaannya itu.”~HR Bukhari dan Muslim~

2. Khusyuk ketika menghadap Allah SWT
Sabda Rasulullah SAW,”Ketahuilah bahawa Allah tidak akan memakbulkan doa dari hati-hati yang lalai dan bermain-main.” ~HR Tirmidzi~

3. Tidak terburu-buru
Rasulullah SAW bersabda,”Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selama dia tidak terburu-buru.”
Terburu-buru di sini bermaksud ketidaksabaran dalam menanti doa dimakbulkan hingga akhirnya membawa kepada putus asa dalam berdoa (memberhentikan doa).

4. Memakan makanan yang halal
Rasulullah SAW pernah bersabda."Orang lelaki itu kelihatan kotor dan berdebu kerana perjalanan yang panjang. Kemudian dia mengangkat kedua tangannya ke langit dan berkata,"Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku″, tetapi makanannya adalah haram, minumannya adalah haram, pakaiannya adalah haram, dan dia telah memakan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya akan dimakbulkan?”~HR Abu Daud, An-Nasa’i, Imam Ahmad~

Jadi, sebelum kita mengeluh dan terus mengeluh dengan doa-doa kita, marilah sama-sama memperbetulkan diri kita sendiri dan berdoa dengan lebih baik lagi. Semoga kita sama-sama memperoleh keredhaanNya dan segala yang dihajati... =)

We're Not Terrorist, We're simple MUSLIM...!!!

Assalamualaikum & Salam Ukhwah...

Marilah kita sama-sama menghayati cerita kartun islamik ini dan ambil pengajaran yang ada... Untuk fahamkan orang-orang barat mungkin susah kerana pemikiran mereka terbimbing ke arah yang negatif mengenai ISLAM ataupun dipanggil MUSLIM. Jadi, sebagai orang ISLAM, menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan mentaliti dan fahaman mereka yang selama ini dan membuktikan bahawa ISLAM itu HEBAT!!! Renung-renungkan kisah ini... =)


























Pesanan Ringkas: 
Katakan "TIDAK" kepada ISLAMOPHOBIA... Sesungguhnya ISLAM itu indah...!!!

Saturday 29 October 2011

Hebatnya Iman Seekor Semut

Assalamualaikum & Salam Ukhwah...

Dulu masa kita kecil-kecil, kita suka dengar pasal cerita-cerita tak kiralah cerita dongeng ke, realiti ke ataupun kisah yang berunsur islamik... Sampai kita dewasa pun, kita tak lepas nak bercerita. Jadi, marilah kita ambil tauladan dan pengajaran daripada kisah SEMUT ini ye... =)


 Di zaman Nabi Sulaiman A.S, berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Sulaiman ternampak seekor semut melata di atas batu. Lantas Nabi Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. 

Nabi Sulaiman a.s pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu". 

Semut pun menjawab: "Rezeki datang dari ALLAH, aku percaya rezeki datang dari ALLAH, aku yakin di atas batu kering di pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". 

Lantas Nabi Sulaiman a.s pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Sulaiman a.s pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". 

Nabi Sulaiman a.s pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku! Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah". 

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".  
Itulah Iman Sang Semut!!

Peringatan: Nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Ali R.A

Assalamualaikum...
Wahai sahabat sekalian...

Marilah kita sama-sama jadikan nasihat ini sebagai juadah diri semoga terbuka selera kita untuk memperlengkapkan diri dan jiwa kita sebagai yang ALIM, JUJUR, TAKWA dan mudah-mudahan kita tergolong sebagai salah seorang AHLI IBADAH yang berjaya di dunia dan di akhirat... InsyaAllah... =)


Wahai Ali, bagi orang ALIM itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yang haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yang JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Merahsiakan ibadahnya
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya.

Wahai Ali, bagi orang yang TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Testimoni Ketinggian Akhlak Rasulullah SAW

Assalamualaikum & Salam Ukhwah...

Allah SWT menyebut dalam Al-Quran, melalui firmanNya yang bermaksud:
"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik (uswah hasanah)."~Surah Al-Ahzab 33:21~

"Sesungguhnya engkau (Rasulullah SAW) benar-benar berbudi perketi agung (khuluqin 'azim)." ~Surah Al-Qalam 68:4~

 Gambar Hiasan

Apabila Ummul Mukminin Syaidatina Aisyah R.Ha diminta menerangkan keperibadian Rasulullah SAW, maka jawapannya ialah dengan ungkapan yang masyhur ini. "Sesungguhnya akhlaknya ialah Al-Quran." (Riwayat Ahmad)

Peribadi Rasulullah SAW ibarat gambaran Al-Quran yang hidup. Kehidupan Baginda SAW ibarat mentafsirkan ajaran Al-Quran. Keindahan cahaya Al-Quran terpancar pada wajah dan sinar akhlak Baginda. Setiap perilaku dan tindakan Baginda bertepatan dengan Al-Quran dan menjadi sunnah ikutan.

Sumber: Majalah SOLUSI isu no.36 (cerna minda)

Friday 28 October 2011

Renungan: Lelaki Yang Ditarik Wanita Masuk Ke Dalam Neraka

Assalamualaikum 
Wahai Pencinta Islam...


Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya didunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, solatnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak-anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram disisi Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya. Maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Lihatlah... Betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Bagaimana Untuk Khusyuk Solat?

Assalamualaikum & Salam Ukhwah...

Al-kisah ini untuk renungan diri sendiri dan sesiapa yang membaca... Semoga kita dapat memperbaiki solat kita sehari demi sehari macam kisah ini ye... =)


Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadatnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, " Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam berkata, " Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, " Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu mambasuh semua anggota wudhu' dengan air."


Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-
1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, " Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.


Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1. Aku sedang berhadapan dengan Allah SWT,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

"Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Tuesday 25 October 2011

Nama-Nama Allah & Hikmahnya... =)


Assalamualaikum...
Wahai pencinta Islam...


"Rasulullah s.a.w bersabda ” Banyakkanlah olehmu menyebut Allah di segenap keadaan kerana tidak ada sesuatu amal yang lebih disukai Allah dan tidak ada yang banyak melepaskan hamba drp bencana di dunia dan di akhirat drp menyebut Allah (berzikir)."

1. Allah 
 "Ya Allah!" apabila dizikirkan 500 x setiap malam, lebih-lebih lagi selepas solat tahajjud atau solat sunat 2 rakaat mempunyai pengaruh yang besar di dalam mencapai segala yang dihajati.

2. Ar-Rahman - Maha Pemurah 
"Ya Rahman!" apabila dizikirkan sesudah solat 5 waktu sebanyak 500x, maka hati kita akan menjadi terang, tenang & sifat-sifat pelupa & gugup akan hilang dengan izin Allah.

3. Ar-Rahim - Maha Penyayang
"Ya Rahim!" apabila dizikirkan sebanyak 100 x setiap hari, InsyaAllah kita akan mempunyai daya penarik yang besar sekali hingga manusia merasa cinta & kasih serta sayang terhadap kita.

4. Al-Malik - Maha Merajai/Pemerintah
 "Ya Malik!" apabila dizikirkan sebanyak 121 x setiap pagi atau setelah tergelincirnya matahari, segala perkerjaan yang dilakukan setiap hari akan mendatangkan berkat & kekayaan yang diredhai Allah. 
  
5. Al-Quddus - Maha Suci
 "Ya Quddus!" apabila dizikirkan sebanyak 100 x setiap pagi setelah tergelincir matahari, maka hati kita akan terjaga dari semua penyakit hati seperti sombong, iri hari, dengki dll.

6. As-Salam - Maha Penyelamat
"Ya Salam!" apabila dizikirkan sebanyak 136 x, InsyaAllah jasmani & rohani kita akan terhindar dari segala penyakit sehingga badan menjadi segar sihat & sejahtera.

7. Al-Mu'min - Maha Pengaman
"Ya Mukmin!" apabila dizikirkan sebanyak 236 x, InsyaAllah diri kita, keluarga & segala kekayaan yang dimiliki akan terpelihara & aman dari segala macam gangguan yang merosakkan.

8. Al-Muhaymin - Maha Pelindung/Penjaga
"Ya Muhaimin!" apabila dizikirkan sebanyak 145 x sesudah solat fardhu Isyak, Insyaallah fikiran & hati kita akan menjadi terang & bersih.

9. Al-'Aziz - Maha Mulia/Perkasa
"Ya 'Aziz!" apabila dizikirkan sebanyak 40 x sesudah solat subuh, InsyaAllah, kita akan menjadi orang yang mulia, disegani orang kerana penuh kewibawaan.

10. Al-Jabbar - Maha Pemaksa
"Ya Jabbar!" apabila dizikirkan sebanyak 226 x pagi & petang, semua musuh akan menjadi tunduk & patuh dengan izin Allah.

11. Al-Mutakabbir - Maha Besar
 "Ya Mutakabbir!" apabila dizikirkan sebanyak 662 x, maka dengan kebijaksanaan bertindak, kita akan dapat menundukkan semua musuh, bahkan mereka akan menjadi pembantu yg setia.

12. Al-Khaliq - Maha Pencipta
"Ya Khaliq!" dibaca mengikut kemampuan atau sebanyak 731x, InsyaAllah yang ingin otak cerdas, cepat menerima sesuatu pelajaran , amalan ini akan memberikan otak kita cerdas dan cepat tangkap (faham).

13. Al-Bari' - Maha Perancang
"Ya Baarii'!" sekiranya kita berada didalam kesukaran atau sedang sakit, dibaca sebanyak 100 x selama 7 hari berturut-turut, InsyaAllah kita akan terlepas dari kesukaran & sembuh dari penyakit tersebut.

14. Al-Musawwir - Maha Menjadikan Rupa Bentuk
"Ya Musawwir!" sekiranya seorang isteri yang sudah lama belum mempunyai anak, maka cubalah ikhtiar ini dengan berpuasa selama 7 hari dari hari Ahad hingga Sabtu. Di waktu hendak berbuka puasa, ambil segelas air & dibacakan "Ya Musawwir" sebanyak 21 x, kemudian diminum air tersebut untuk berbuka puasa. Bagi sang suami, hendaklah berbuat perkara yang sama tetapi hanya dengan berpuasa selama 3 hari. Kemudian pada waktu hendak berjimak, bacalah zikir ini sebanyak 10 x, InsyaAllah akan dikurniakan anak yang soleh.

15. Al-Ghaffar - Maha Pengampun
"Ya Ghaffaar!" sambil beri'tikaf (diam dalam masjid dalam keadaan suci) bacalah zikir ini sebanyak 100 x sambil menunggu masuknya waktu solat Jumaat, InsyaAllah akan diampunkan dosa-dosa kita.

16. Al-Qahhar - Maha Menundukkan
"Ya Qahhaar!" dizikir menurut kemampuan atau sebanyak 306 x, maka hati kita akan dijaga dari ketamakkan & kemewahan dunia & InsyaAllah orang-orang yang selalu memusuhi kita akan sedar & tunduk akhirnya.

17. Al-Wahhab - Maha Pemberi
"Ya Wahhaab!" dizikir sebanyak 100 x sesudah solat fardhu, barang siapa yang selalu didalam kesempitan, Insya Allah segala kesulitan atau kesempitan dalam soal apa pun akan hilang.

18. Ar-Razzaq - Maha Pemberi Rezeki
"Ya Razzaq!" dizikir mengikut kemampuan sesudah solat fardhu khususnya solat subuh, Insya Allah akan dipermudahkan rezeki yang halal & membawa berkat. Rezeki akan datang tanpa diduga!! tetapi perlulah dilakukan dengan ikhtiar yang zahir.

19. Al-Fattah - Maha Pembuka
"Ya Fattah!" dizikir sebanyak 71 x sesudah selesai solat subuh, InsyAllah hati kita akan dibuka oleh Allah, sehingga mudah menerima nasihat agama.

20. Al-'Aalim - Maha Mengetahui
"Ya 'Aalim!" dizikir sebanyak 100 x setiap kali selesai solat Maktubah, Insya Allah akan mendapat kemakrifatan yang sempurna. 

21. Al-Qabid - Maha Penyempit Hidup
"Ya Qaabidhu!" dizikirkan 100 x setiap hari, maka dirinya akan semakin dekat dengan Allah & terlepas dari segala bentuk ancaman.

22. Al-Basit - Maha Pelapang Hidup
"Ya Baasithu!" Bagi mereka yg berniaga atau mempunyai usaha2 lain, kuatkanlah usaha & berniaga itu dengan memperbanyakkan membaca zikir ini setiap hari, InsyaAllah rezeki akan menjadi murah. 

23. Al-Khafid - Maha Penghina
"Ya Khaa'fidh!" dizikirkan sebanyak 500 x setiap hari, dalam keadaan suci, khusyuk & tawaduk, InsyaAllah segala maksud akan ditunaikan Allah. Juga apabila mempunyai musuh, musuh itu akan jatuh martabatnya.

24. Ar-Rafi' - Maha Tinggi
"Ya Raafi!" dizikirkan setiap hari, baik siang atau malam sebanyak 70 x, InsyaAllah keselamatan harta benda di rumah, di kedai atau di tempat-tempat lain akan selamat & terhindar dari kecurian. 

25. Al-Mu'iz - Maha Pemberi Kemuliaan/Kemenangan
"Ya Mu'izz!" dizikirkan sebanyak 140 x setiap hari, Insya Allah akan memperolehi kewibawaan yang besar terutama ketua-ketua jabatan atau perniagaan. 

26. Al-Muthil - Maha Merendahkan
"Ya Muzill!" Perbanyakkanlah zikir ini setiap hari, sekiranya ada orang berhutang kepada kita & sukar untuk memintanya, InsyaAllah si penghutang akan sedar & membayar hutangnya kembali. 

27. As-Sami' - Maha Mendengar
"Ya Samii'!" Sekiranya inginkan doa kita makbul & pendengaran telinga kita tajam, biasakanlah zikir ini setiap hari menurut kemampuan, lebih-lebih lagi sesudah solah Dhuha, InsyaAllah doa akan mustajab.

28. Al-Basir - Maha Melihat
"Ya Bashiir!" Dizikirkan sebanyak 100 x sebelum solat Jumaat, InsyaAllah akan menjadikan kita terang hati, cerdas otak & selalu diberikan taufik & hidayah dari Allah.

29. Al-Hakam - Maha Menghukum
"Ya Hakam!" dizikirkan sebanyak 68 x pada tengah malam dalam keadaan suci, InsyaAllah dapat membuka hati seseorang itu mudah menerima ilmu-ilmu agama & membantu kecepatan mempelajari ilmu-ilmu agama.

30. Al-'Adl - Maha Adil
"Ya Adllu!" dizikirkan sebanyak 104 x setiap hari sesudah selesai solat 5 waktu, InsyaAllah diri kita selalu dapat berlaku adil.

31. Al-Latif - Maha Halusi
"Ya Lathiif!" Dengan memperbanyakkan zikir ini mengikut kemampuan, InsyaAllah bagi para peniaga, ikhtiar ini akan menjadikan barangan jualannya menjadi laris & maju. 

32. Al-Khabir - Maha Waspada
"Ya Khabiir!" Dengan memperbanyakkan zikir ini setiap hari, terkandung faedah yang teramat banyak sekali sesuai dengan maksud zikir ini antara lain faedahnya ialah dapat bertemu dengan teman atau anak yang telah terpisah sekian lama. 

33. Al-Halim - Maha Penyantun
"Ya Haliim!" Dizikirkan sebanyak 88 x selepas solat lima waktu, bagi mereka yang mempunyai kedudukan di dalam pemerintahan, syarikat atau apa saja, InsyaAllah dipastikan kedudukannya tidak akan dicabar atau diungkit-ungkit atau tergugat.

34. Al-'Azim - Maha Agong
"Ya 'Aziim!" dizikirkan sebanyak 12 x setiap hari untuk orang yang sekian lama menderitai sakit, InsyaAllah akan sembuh. Juga apabila dibaca 12 x kemudian ditiupkan pada tangan lalu diusap-usap pada seluruh badan, maka dengan izin Allah akan terhindar dari gangguan jin, jin syaitan & sebagainya.

35. Al-Ghafur - Maha Pengampun
"Ya Ghafuur!" bagi orang yang bertaubat, hendaklah memperbanyakkan zikir ini dengan mengakui dosa-dosa & beriktikad untuk tidak mengulanginya, InsyaAllah akan diterima taubatnya oleh Allah.

36. Ash-Shakur - Maha Pengampun
"Ya Syakuur!" dizikirkan sebanyak 40 x sehabis solat hajat, sebagai pengucapan terima kasih kepada Allah, InsyaAllah semua hajat kita akan dimakbulkan Allah. Lakukanlah setiap kali kita mempunyai hajat yang penting & terdesak.

37. Al-'Aliyy - Maha Tinggi Martabat-Nya
"Ya 'Aliy!" Untuk mencerdaskan otak anak kita yang bebal, tulislah zikir ini sebanyak 110 x (** di dalam bahasa Arab bukan Bahasa Malaysia!!) lalu direndam pada air yang dingin & diberikan si anak meminumnya, InsyaAllah lama kelamaan otak si anak itu akan berubah cemerlang & tidak dungu lagi. InsyaAllah mujarab.

38. Al-Kabir - Maha Besar

 "Ya Kabiir!" Bagi seseorang yang kedudukannya telah dirampas atau dilucut gara-gara sesuatu fitnah, maka bacalah zikir ini sebanyak 1,000 x selama 7 hari berturut-turut dalam keadaan suci sebagai pengaduan kepada Allah. Lakukanlah sesudah solat malam (tahajud atau hajat).

39. Al-Hafiz - Maha Pelindung
 "Ya Hafiiz!" dizikir sebanyak 99 x, InsyaAllah diri kita akan terlindung dari gangguan binatang buas terutamanya apabila kita berada di dalam hutan.

40. Al-Muqit - Maha Pemberi Keperluan
"Ya Muqiit!" Sekiranya kita berada di dalam kelaparan seperti ketika sesat di dalam hutan atau di mana sahaja sehingga sukar untuk mendapatkan bekalan makanan, maka perbanyakkan zikir ini. InsyaAllah badan kita akan menjadi kuat & segar kerana rasa lapar akan hilang.

41. Al-Hasib - Maha Mencukupi
"Ya Hasiib!" Untuk memperteguhkan kedudukan yang telah kita jawat, amalkan zikir ini sebanyak 777 x sebelum matahari terbit & selepas solat Maghrib, InsyaAllah akan meneguhkan kedudukan kita tanpa sebarang gangguan.

42. Aj-Jalil - Maha Luhur
"Ya Jaliil!" Barangsiapa mengamalkan zikir ini pada sepertiga malam yang terakhir, InsyaAllah kita akan mendapati perubahaan yang mengkagumkan - perniagaan akan bertambah maju. Andai seorang pegawai, maka tanpa disedari kedudukan kita akan lebih tinggi dan terhormat & begitulah seterusnya dengan izin Allah.

43. Al-Karim - Maha Mulia
"Ya Kariim!" Untuk mencapai darjat yang tinggi & mulia di dunia mahupun di akhirat kelak, maka amalkan zikir ini sebanyak 280 x ketika hendak masuk tidur. Nescaya Allah akan mengangkat darjat mereka yang mengamalkan zikir ini. 

44. Ar-Raqib - Maha Pengawas
"Ya Raqiib!" Bagi meminta pertolongan kepada Allah terhadap penjagaan barang yang dikhuatirkan, maka zikirkan sebanyak 50 x setiap hari dengan niat agar barang-barang yang dikhuatirkan yang berada di tempat yang jauh & sukar dijaga terhindar dari sebarang kecurian mahupun gangguan lainnya. Bertawakkal & yakinlah kepada Allah. InsyaAllah....

45. Al-Mujib - Maha Mengabulkan
"Ya Mujiib!" Sesungguhnya Allah adalah Zat yang menerima doa hambaNya & agar doa kita mustajab & selalu diterima Allah, hendaklah mengamalkan zikir ini sebanyak 55 x sesudah solat subuh. Insyaallah Tuhan akan mengabulkan doa kita.

46. Al-Wasi' - Maha Luas Pemberian-Nya
 "Ya Waasi!" Apabila di dalam kesulitan maka amalkan zikir ini sebanyak 128 x setiap pagi & petang, InsyaAllah segala kesulitan akan hilang berkat pertolongan Allah. Andai zikir ini sentiasa diamalkan, InsyaAllah Tuhan akan menjaga kita dari hasad dengki sesama makhluk.

47. Al-Hakim - Maha Bijaksana
 "Ya Hakiim!" Bagi pelajar atau sesiapa sahaja yang memperbanyakkan zikir ini setiap hari, InsyaAllah akalnya akan menjadi cerdas & lancar didalam menghafal & mengikuti pelajaran. Amalkanlah sekurang-kurangnya 300x setiap hari.

48. Al-Wadud - Maha Pencinta
"Ya Waduud!" Amalkan zikir ini sebanyak 11,000 x pada setiap malam. InsyaAllah kita akan menjadi insan yang sentiasa bernasib baik, disayangi & rumahtangga kita akan sentiasa berada didalam keadaan harmoni.

49. Al-Majid - Maha Mulia
"Ya Majiid!" Untuk ketenteraman keluarga di mana setiap anggota keluarga sentiasa menyayangi & menghormati & khasnya kita sebagai ketua keluarga, maka amalkan zikir ini sebanyak 99 x, sesudah itu hembuskan kedua belah tapak tangan & usap ke seluruh muka. InsyaAllah semua anggota keluarga kita akan menyayangi & menghormati kita sebagai ketua keluarga.

50. Al-Ba'ith - Maha Membangkitkan
 "Ya Baa'its!" Zikirkan sebanyak 100 x dengan meletakkan kedua tangan ke dada, InsyaAllah akan memberi kelapangan dada dengan ilmu & hikmah.

51. Ash-Shahid - Maha Menyaksikan
"Ya Syahiid!" Apabila ada di kalangan anggota keluarga kita yang suka membangkang dan sebagainya, maka zikirkan sebanyak 319 x secara berterusan setiap malam sehingga si pembangkang akan sedar & berubah perangainya.

52. Al-Haqq - Maha Benar
"Ya Haq"! Perbanyakkan zikir ini, InsyaAllah ianya sangat berfaedah sekali untuk menebalkan iman & taat di dalam menjalankan perintah Allah. 

53. Al-Wakil - Maha Berserah
"Ya Wakiil" Sekiranya terjadi hujan yang disertai ribut yang kuat, atau terjadi gempa, maka ketika itu perbanyakkan zikir ini, InsyaAllah bencana tersebut akan menjadi reda & kembali seperti sediakala. 

54. Al-Qawiyy - Maha Memiliki Kekuatan
"Ya Qawiy!" Amalkan zikir ini sebanyak mungkin agar kita tidak gentar apabila berdepan dengan sebarang keadaan mahupun berdepan dengan si zalim.

55. Al-Matin - Maha Sempurna Kekuatan-Nya
"Ya Matiin!" Amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin kerana ianya mempunyai fadhilat yang besar sekali, antaranya untuk mengembalikan kekuatan sehingga musuh merasa gentar untuk mengganggu. 

56. Al-Waliyy - Maha Melinuingi
"Ya Waliy!" Barangsiapa yang menjawat sebarang jawatan atau kedudukan, maka amatlah elok sekali mengamalkan zikir ini sebanyak mungkin kerana dengan izinNya,kedudukan kita akan kukuh & terhindar dari sebarang gangguan oleh orang-orang yang bersifat dengki.

57. Al-Hamid - Maha Terpuji
"Ya Hamiid!" Perbanyakkan zikir ini sebagai pengakuan bahawa hanya Allah sahaja yang paling berhak menerima segala pujian. 

58. Al-Muhsi - Maha Menghitung
"Ya Muhshiy!" Sekiranya kita inginkan diri kita digolongkan didalam pertolongan yang selalu dekat dengan Allah (muraqabah), maka amalkan zikir ini sebanyak mungkin sesudah solat 5 waktu.

59. Al-Mubdi' - Maha Memulai/Pemula
"Ya Mubdiu!" Agar segala apa yang kita rancangkan akan berhasil, maka zikirkan sebanyak 470 x setiap hari. InsyaAllah....

60. Al-Mu'id - Maha Mengembalikan
"Ya Mu'id!" Andai ada anggota keluarga yang menghilangkan diri dan sebagainya, amalkan zikir ini sebanyak 124 x setiap hari sesudah solat. InsyaAllah dipertunjukkan akan hasilnya.

61. Al-Muhyi - Maha Menghidupkan
"Ya Muhyiy!" amalkan zikir ini sebanyak 58 x setiap hari, InsyaAllah kita akan diberikan kemuliaan darjat dunia & akhirat kelak.

62. Al-Mumit - Maha Mematikan
"Ya Mumiit!" Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, InsyaAllah akan dipermudahkan didalam perniagaan, berpolitik dan sebagainya.

63. Al-Hayy - Maha Hidup
"Ya Hayyu!" Untuk mencapai kekuatan mental/batiniah didalam menjalani kehidupan, perbanyakkanlah zikir ini. 

64. Al-Qayyum - Maha Berdiri Dengan Sendiri-Nya
"Ya Qayyuum!" Telah berkata Imam Ghazali bahawa barangsiapa yang ingin memperolehi harta yang banyak lagi berkat, ingin dikasihi oleh setiap manusia, ingin berwibawa, ditakuti musuh & ingin menjadi insan yang terhormat, maka berzikirlah dgn "Ya Hayyu Ya Qayyuum..." sebanyak 1,000 x setiap malam atau siang hari. Hendaklah melakukannya secara berterusan, Insya Allah akan tercapai segala hajat.

65. Al-Wajid - Maha Menemukan
"Ya Waajid!" Andai berkeinginan keperibadian yang kukuh, tidak mudah terpengaruh & teguh pendirian, maka perbanyakkan zikir ini.

66. Al-Majid - Maha Mulia
"Ya Maajid!" Demi kecerdasan otak dan agar dipermudahkan hati untuk menerima pelajaran, maka hendaklah pelajar tersebut memperbanyakkan zikir ini setiap hari.

67. Al-Wahid - Maha Esa
"Ya Waahid!" Bagi pasangan yang belum mempunyai cahayamata & tersangat ingin untuk menimangnya, amalkanlah zikir ini sebanyak 190 x setiap kali selesai menunaikan solat 5 waktu selama satu bulan & selama itu juga hendaklah berpuasa sunat Isnin & Khamis, Insya Allah...

68. As-Samad - Maha Diminta
"Ya Somad! Ketika dalam kelaparan akibat sesat atau kesempitan hidup, maka pohonlah kepada Allah dengan zikir ini sebanyak mungkin. InsyaAllah, diri akan berasa segar & sentiasa.

69. Al-Qadir - Maha Kuasa
"Ya Qaadir!" Apabila kita berhajatkan sesuatu namun ianya selalu gagal, maka amalkan zikir ini sebanyak 305 x setiap hari, Insya Allah segala hajat akan berhasil. 

70. Al-Muqtadir - Maha Menentukan
"Ya Muqtadir!" Agar tercapai tujuan yang dikehendaki, selain dari berikhtiar secara lahariah, maka berzikirlah dengan zikir ini seberapa mampu sehingga ikhtiar kita itu berhasil kerana zikir ini akan mempercepatkan keberhasilan hajat kita.

71. Al-Muqaddim - Maha Mendahulukan
"Ya Muqaddim!" Menurut Imam Ahmad bin Ali Al-Buuniy, beliau berkata "Barangsiapa yang berzikir dengan zikir ini sebanyak 184 x setiap hari, InsyaAllah, nescaya segala usahanya akan berhasil".

72. Al-Mu'akhkhir - Maha Melambat-lambatkan
"Ya Muahkhir"! Bagi meninggikan lagi ketaatan kita kepada Allah, perbanyakkanlah zikir ini. 

73. Al-'Awwal - Maha Pemulaan
"Ya Awwal!!" Barangsiapa yang mengamalkan zikir ini sebanyak 37 x setiap hari, InsyaAllah segala apa yang dihajati akan diperkenankan Allah.

74. Al-'Akhir - Maha Penghabisan
"Ya Aakhir!" Amalkan berzikir sebanyak 200 x sesudah solat 5 waktu selama satu bulan, InsyaAllah Tuhan akan membuka pintu rezeki yang halal.

75. Az-Zahir - Maha Menyatakan
"Ya Dhaahir!" Amalkanlah zikir ini sebanyak
1,106 x selesai solat waktu di tempat yang sunyi
(khalwat), nescaya Allah akan membuka hijab padanya dari segala rahsia yang pelik & sukar serta diberi kefahaman ilmu.

76. Al-Batin - Maha Tersembunyi
"Ya Baathinu!" Seperti no. 75 jugak, tetapi amalkan sebanyak 30 x sesudah solat fardhu.

77. Al-Wali - Maha Menguasai Urusan
"Ya Waaliy!" Memperbanyakkan zikir ini setiap pagi & petang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi orang yang ma'rifat, iaitu hatinya dibuka oleh Allah. Difahamkan para wali Allah selalu memperbanyakkan zikir ini

78. Al-Muta'ali - Maha Suci/Tinggi
"Ya Muta'aAliy!" Sekiranya kita akan berjumpa dengan mereka yang berkedudukan tinggi atau mereka yang sukar untuk ditemui, maka bacalah zikir ini sebanyak mungkin sewaktu mengadap. InsyaAllah dengan mudah kita akan berjumpa dengannya & segala hajat yang penting-penting akan berhasil.

79. Al-Barr - Maha Bagus (Sumber Segala Kelebihan)
"Ya Bar!" Amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin setiap hari, InsyaAllah segala apa yang kita hajati akan terlaksana dengan mudah.

80. At-Tawwab - Maha Penerima Taubat
"Ya Tawwaab!" Bagi orang yang selalu membuat dosa & ingin bertaubat maka hendaklah memperbanyakkan zikir ini supaya dengan mudah diberikan petunjuk kembali ke jalan yang lurus.

81. Al-Muntaqim - Maha Penyiksa
"Ya Muntaqim!" Jika kita berhadapan dengan orang yang zalim, supaya dia tidak melakukan kezalimannya terhadap kita, maka hendaklah kita memperbanyakkan zikir ini setiap kali sesudah solat fardhu. Insyaallah, kita akan mendpt pertolongan Allah.

82. Al-'Afuww - Maha Pemaaf
"Ya 'Afuww!" Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, nescaya dia akan diampuni segala dosanya oleh Allah.

83. Ar-Ra'uf - Maha Mengasihi
"Ya Rauuf!" Bagi sesiapa yang inginkan dirinya disenangi oleh teman atau sesiapa sahaja yang memandangnya, amalkan zikir ini seberapa mampu samada pada waktu siang mahupun malam.

84. Malik Al-Mulk - Maha Pemilik Kekuasaan
"Ya Maalikul Mulki!" Seseorang pengarah atau ketua yang ingin kedudukan yang kekal & tetap tanpa diganggu gugat, hendaklah selalu mengamalkan zikir ini sebanyak 212 x sesudah solat fardhu & 212 pada setiap malam selama sebulan. InsyaAllah akan mendapat pertolongan Allah.

85. Thul-Jalali wal-Ikram - Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan
"Ya Zul Jalaali wal Ikraam!" Amalkanlah zikir ini sebanyak 65 x setiap hari selama sebulan, InsyaAllah segala hajat kita akan tercapai dengan pertolongan Allah.

86. Al-Muqsit - Maha Mengadili
"Ya Muqsith!" Berzikirlah dengan zikir ini mengikut kemampuan, InsyaAllah Tuhan akan menganugerahkan sifat adil kepada mereka yang mengamalkannya.

87. Aj-Jami' - Maha Mengumpulkan
"Ya Jaami'!" Sekiranya ada dikalangan keluarga kita atau isteri kita yang lari dari rumah, maka amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin pada setiap hari dengan niat semoga Allah menyedarkan orang tersebut. Dengan izin Allah orang yang lari itu akan pulang dalam jangka waktu yang singkat. 

88. Al-Ghaniyy - Maha Kaya Raya
"Ya Ghaniy!" Amalkanlah zikir ini pada setiap hari sebanyak mungkin, InsyaAllah apa yang kita usahakan akan cepat berhasil & kekayaan yang kita perolehi itu akan mendapat berkat.

89. Al-Mughni - Maha Penberi Kekayaan
"Ya Mughniy!" Mintalah kekayaan yang bermanfaat untuk kehidupan dunia & akhirat kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir ini, InsyaAllah segala hajat kita akan tercapai.

90. Al-Mani' - Maha Membela/Menolak
"Ya Maani'!" Andai kita selalu mengamalkan zikir ini sebanyak 161 x pada waktu menjelang solat subuh setiap hari, InsyaAllah kita akan terhindar dari orang-orang yang zalim & suka membuat angkara.

91. Ad-Darr - Maha Pembuat Bahaya
"Ya Dhaarr!" Asma ini sangat berguna didalam ikhtiar kita untuk menyembuhkan sesuatu penyakit yang mana sudah lama dihidapi & telah puas dihidapi & telah puas diubati. Amalkanlah zikir ini sebanyak 1001 x pada setiap hari, InsyaAllah dengan ikhtiar ini penyaki itu akan cepat sembuh.

92. An-Nafi' - Maha Pemberi Manfaat
"Ya Naafi' "! Menurut Imam Ahmad Al-Buuniy, barangsiapa mengamalkan zikir ini setiap hari, maka bagi orang yang sakit, sakitnya akan sembuh, & bagi orang yang susah akan dihilangkan kesusahannya dengan izin Allah.

93. An-Nur - Maha Pemberi Cahaya
"Ya Nuur!" Menurut Sheikh Ahmad bin Muhammad As Shawi, barangsiapa yang menghendaki kemuliaan yang agung & memperolehi apa yang dimaksudkan baik kebaikan dunia mahupun kebaikandi akhirat kelak, maka hendaklah selalu berzikir dengan zikir ini setiap pagi & petang.

94. Al-Hadi - Maha Pemberi Petunjuk
"Ya Haadiy!" Bagi sesiapa yang dalam perjalanan ke suatu tempat tertentu, kemudian ia tersesat, hendaklah ia memohon petunjuk Allah dengan memperbanyakkan zikir ini, Insya Allah akan diberikan pertolongan Allah akan cepat lepas dari kesesatan tersebut.

95. Al-Badi' - Maha Indah/Tiada Bandingan
"Ya Baadii!" Andai kita mempunyai rancangan yang sangat penting & bagi memastikan rancangan kita itu berjaya & berjalan lancar, maka berzikirlah dengan zikir ini sebanyak 500 x selepas solat fardhu. InsyaAllah Tuhan akan memberikan pertolongan hingga rancangan kita berjaya & berjalan lancar. 

96. Al-Baqi - Maha Kekal
"Ya Baaqy!" Amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin tanpa mengira batas waktu, InsyaAllah dengan ikhtiar ini semua perkerjaan yang telah menjadi punca rezeki tidak akan mudah terlepas, perniagaan tidak akan rugi atau bankrap dengan berkat zikir ini.

97. Al-Warith - Maha Membahagi/Mewarisi
"Ya Waarits!" Sekiranya kita berzikir sebanyak
500 x selepas solat fardhu atau sebagainya, supaya segala urusan kita itu berjalan lancar, maka hendaklah pada setiap malam berzikir dengan zikir ini sebanyak 707 x. InsyaAllah berkat zikir ini Allah akan memberi petunjuk sehingga usaha kita akan berhasil dengan baik & memberangsangkan. 

98. Ar-Rashid - Maha Pandai/Bijaksana
"Ya Rasyiid!" Walaupun kita tergolong didalam golongan yang cerdas otak, namun biasakanlah zikir ini sebanyak mungkin, nescaya otak kita akan menjadi bertambah cerdas.

99. As-Sabur - Maha Penyabar
"Ya Shabuur!" Agar kita diberi kesabaran oleh Allah dalam segala hal, maka perbanyakkanlah zikir ini menurut kemampuan. Dengan sifat sabar & penuh pengharapan kepada Allah, maka segala usaha & upaya akan mencapai kejayaan.

(fadhilat ini dipetik dari tajuk buku Khasiat Asmaul-Husna & Himpunan Ayat-Ayat Al-Quran, susunan : Abu Nur Husnina, keluaran Pustaka Ilmi).

Doa-doa Yang Makbul:
1. Orang yang terdesak.
2. Orang yang teraniaya/dizalimi.
3. Anak yang berbuat baik terhadap kedua ibubapanya.
4. Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim & tidak memutuskan silaturrahim.

Tanda-tanda Doa Yang Makbul:
1. Terasa sesuatu yang menakutkan.
2. Menangis tatkala berdoa.
3. Terasa menggeletar.

Cara-cara Berdoa:
1. Bersungguh-sungguh semasa berdoa. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bersungguh-sungguh semasa ia berdoa"

2. Menghadirkan diri kpd Allah dengan penuh kekhusyukkan kerana Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai.

3. Hendaklah makanan, minuman, pakaian dan sebagainya dari harta yang halal kerana sesungguhnya Allah itu baik & menerima melainkan yang baik belaka.

4. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, khianat, memutuskan silaturrahim & jangan sesekali memohon SEGERA dimakbulkan doa tersebut.

5. Digalakkan memperbanyakkan menyebut Asmaul Husna, dimulai dengan bertaubat, istighfar, hamdalah serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w & para sahabat.

6. Sebelum berdoa, bersedekahlah terlebih dahulu kepada Nabi Muhammad, para sahabat, Ibu bapa dan keluarga. Samada yang masih hidup ataupun meninggal dunia...
(al-fatihah dan sebagainya).

KATA-KATA NASIHAT IBNU QAYYIM
  1. Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.
  2. Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah swt
  3. Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt
  4. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya
  5. Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya
  6. Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.
Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya. Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati si hamba itu.

Wassalam

Share daripada empunya blog: Whitey Mommy