Suka Blog Nie Tak???

Monday 21 May 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Rejab... =)


Assalamualaikum...

SELAMAT DATANG BULAN YANG PENUH KEBERKATAN DAN KEAMPUNAN,
DOAKAN AGAR KITA SEMPAT DENGANNYA:


Hari Selasa ni bermula 1 Rejab, jadi esok malam (Isnin) adalah malam 1 Rejab. Imam Syafie rahimahullah berkata, ada 5 malam dalam setahun, Allah SWT bukakan pintu langit, salah satunya adalah malam 1 Rejab.
Jadi, esok malam, perbanyakkan doa mudah-mudahan Allah ampunkan dosa kita, memakbulkan doa kita pada malam 1 Rejab. Antara lain yang kita boleh lakukan dalam bulan Rejab ialah, banyakkan Istighfar, minta ampun daripada Allah SWT.

Yang paling bagus sekali Istighfar disebut sebagai "Sayyidul Istighfar" bermula dari esok malam. Bulan Rejab dikenali sebagai bulan Istighfar.

Kisah Penggunting Rambut Dengan Seorang Lelaki


Assalamualaikum...
Wahai Pencinta Islam Yang Setia...

Sekadar gambar hiasan

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk. 

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Antara pengajaran penting:

Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. ALLAH tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun. Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH. Kerana padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh. “Aslim, taslam”. Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat. Peringatan:

Ini hanyalah perumpamaan untuk dibuka fikiran sahaja. Kisah sebegini baik untuk disampaikan untuk mengajak manusia berfikir dan merenung. Namun, perumpamaan ini tidaklah tepat dengan ALLAH. Kerana ALLAH itu adalah Tuhan yang tiada suatu pun yang sama denganNYA. Semoga ada manfaat padanya...

Sunday 15 April 2012

Jom ikut Sunnah Nabi...!!!

Salam semua...
Semoga kalian dilindungi oleh Allah SWT...

Lama saya tak post entry baru... Baru sekarang berkesempatan untuk membuatnya... Dikesempatan yang diberi oleh Allah, saya ingin mengajak semua terus-terus mengamalkan sunnah nabi kita, Nabi Muhammad SAW... Junjungan yang kita dan semua umat Islam sayangi, kagumi, rindui dan cintai selalu...


Di dalam Al-Quran ada dinyatakan:
" Jika kamu benar-benar mencintai Allah SWT, ikutilah aku, nescaya Allah Mengasihi dan Mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, Katakanlah "Taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu berpaling, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir."
~Surah Ali-Imran ayat 31 &32~

Maka, apa sahaja kesukaan Nabi Muhammad SAW, itulah juga kesukaan Allah SWT dan apa sahaja amalan yang Nabi Muhammad SAW lakukan, itulah amalan yang paling Allah sukai.

Nabi SAW pernah mengatakan yang bermaksud: “Demi nyawaku di tangan-Nya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, emak dan semua makhluk yang lain.” (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam sebuah pernyataan yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul lebih daripada segala-galanya. Kedua, menyintai seseorang kerana Allah dan takut kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia benci untuk dilemparkan dalam api neraka yang panas.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak sempurna iman dan kita benar-benar tidak akan merasai kemanisan iman di dalam hati, melainkan Rasulullah SAW dijadikan orang paling dikasihi selepas cinta kita terhadap Allah.

Oleh itu, jom kita ikut SUNNAH NABI....!!!

Mercu Tanda Kiamat

Assalamualaikum...
Salam Ukhwah untuk semua umat Islam...


MERCU TANDA "KIAMAT"

Diagram menunjukkan bangunan tertinggi didunia menjelang tahun 2020.


Untuk menampakkan lagi petanda tersebut Allah telah mentakdirkan mercu tanda kiamat tersebut betul-betul berdiri dihadapan kaabah untuk peringatan dan tatapan umat Islam bahawa saat kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah melalui malaikat Jibrail adalah sangat hampir dengan terbinanya menara Abraij Al Bait (dikenali juga sebagai Fairmont Tower). Menara tersebut merupakan ke 8 tertinggi didunia buat masa ini, tetapi ketika masa pembinaannya ia menandakan era baru dalam perlumbaan pembinaan pencakar langit; sehingga Council of Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH) mengumumkan bermulanya era " Megatall".

Dalam satu hadis yang panjang berkenaan Iman, Islam dan Ehsan yang disampaikan oleh malaikat Jibrail kepada Rasulullah s.a.w, dimana didalam hadis yang penting (kerana menerangkan asas aqidah Islam) ini juga Jibrail telah memberi tahu petanda dekat berlakunya hari kiamat.

Daripada Umar bin al-Khattab r.a.... Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing (berbangga-bang ga) menegakkan dan meninggi-ninggi kan binaan.

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. [Hadis riwayat al-lmam Muslim]

Dalam hadis di atas Jibrail menceritakan sifat golongan yang berlumba-lumba membina bangunan tersebut, iaitu orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing...

Ada pandangan yang mengatakan ia merupakan simbolik kepada suasana ketika itu, bilamana orang yang tidak berkasut, orang miskin yang semestinya ia mendahulukan membeli kasut dari yang lain, tiba-tiba ia telah mendirikan bangunan yang tinggi yang tentunya terpaksa berhutang daripada orang lain. Memang tepatlah bersesuaian dengan sistem ekonomi kapitalis sekarang dimana penjanaan kewangan bagi pembangunan skala besar mesti melibatkan pinjaman daripada pihak bank ataupun pengeluaran bond (sukuk).

Mengikut sumber penganalisa ekonomi dana pembangunan Mekah di perolehi melalui pasaran kewangan Asia Barat yang di biayai oleh 30 buah bank kapitalis melibatkan pinjaman $9.6bn. Sebagaimana diketahui Putera AlWaleed bin Talal salah seorang kerabat di raja pemerintah Saudi merupakan pemilik Citibank iaitu bank riba-kapitalis terbesar didunia. Menurut lapuran CTBUH sebanyak 27 dari 88 bangunan tertinggi didunia dibina di Timur Tengah, menunjukkan dengan jelas perlumbaan untuk bermegah-megah dengan binaan tinggi oleh kaum badwi padang pasir ini tidak dapat ditandingi oleh kaum lain.

Laporan CTBH itu menyatakan," Dalam dekad ini kita dapat menyaksikan bukan sahaja bangunan pertama didunia melepasi aras 1km tinggi, tapi siapnya beberapa buah bangunan yang melepasi 600m (2000 ka) - iaitu dua kali ganda ketinggian Eiffel tower".

Kingdom Tower merupakan bangunan tertinggi didunia melepasi 1km. Kingdom Tower yang akan dibina di Jeddah oleh Kingdom Holding Company (KHC) yang dimiliki oleh Putera Alwaleed bin Talal telah mengesahkan pembinaan bangunan 1km tinggi itu dengan kos SR4.6bn.

Menurut laporan CTBH pembinaan bangunan Megatall ini lebih merupakan iconic bagi menunjukkan kekuatan ekonominya berbanding kawasan lain didunia ini. Lapuran CTBH itu juga menjawab persoalan kenapakah bangunan Supertall tidak dibina di Barat seperti kebiasaan sebelumnya?

"Kebanyakan bandar di dunia barat telah membina bangunan pencakar langit sejak lebih 100 tahun lalu dan telah meletakkan mereka diperingkat antarabangsa. Tambahan lagi, bandar-bandar di Barat tidak mengalami kepesatan seperti sedang berlaku di Asia, oleh itu kewajarannya adalah kurang bagi pembinaan bangunan Supertall di dunia barat..."

Perkembangan pesat pembinaan bangunan tinggi ini dicetuskan oleh berbagai faktor motivasi dari tempatan dan global, dan ia tidak bergantung kepada hanya satu faktor sahaja. Lapuran itu juga membentangkan fakta yang tidak menunjukkan sebarang kaitan antara keperluan penduduk (populasi) dan jumlah bangunan, iaitu negara timur tengah mempunyai nisbah antara populasi-kepada-bangunan adalah terendah.

Sebagai contoh, penduduk UAE hanya 4.7 juta tetapi mempunyai 44 buah bangunan lebih 200 m tinggi, bermakna hanya 100,000 penduduk untuk setiap 200m bangunan. Sebaliknya, China dengan 200 bangunan pada 200 m tinggi, mempunyai kadar hampir 7 juta penduduk untuk setiap 200 m bangunan.

Menjelang 2020, kita akan dapat melihat 8 buah bangunan yang lebih dari 600 m tinggi yang diklasifikasikan sebagai megatall akan siap dibina, dibatasi antara Menara Jam Mekah dan bangunan melepasi awan Kingdom Tower Jeddah!

Fenomena ini telah dimaklumkan oleh Rasulullah dalam beberapa hadis yang lain antaranya: Tidak ada [hari] pengadilan hingga gedung-gedung yang sangat tinggi dibangunkan - [Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.]

As-sa’ah [Hari Kiamat] tidak akan tiba; hingga manusia berlumba-lumba membuat bangunan yang tinggi - [H.R. Bukhari]